Thursday, June 3, 2010

3 Jun 2010 pukul 3.30 pagi. Aku bengong.

Malam ini aku sudah telan 3 biji ubat selsema dan 3 biji paracetamol. Namun mata ku agak kebal untuk lelap. Aku baru balik dari kerja pukul 1 pagi tadi. Sememangnya penat. Tapi kepalaku terus berfikir dengan sikap manusia. Alangkah bagusnya kalau kepalaku dapat berhenti beroperasi dengan hanya menekan butang semudah 'Ctrl+Alt+Delete'.

Aku tidak tahu kepada siapa harus aku luahkan. Aku juga tidak tahu masalah ini berpunca dari siapa. Mungkin sikap ego ku yang tinggi. Mungkin juga disebabkan sikap semulajadi manusia yang hanya nampak setitis dakwat hitam di atas kertas putih A4. Aku tahu aku ada buat salah tapi perlukah aku dihukum sebegitu rupa. Betulkah sebesar hukuman itu salahku? Mungkin juga manusia tetap manusia. Sememangnya tidak nampak kebaikan sesuatu sebelum kehilangannya.

Patutlah bapa saudaraku tidak mahu balik ke alam ini. Dimensi manusia memang busuk. Kadang-kadang tidak sanggup aku fikir. Dengan Yahudi yang tidak berhati perut, skrip politik murahan dari mereka yang mempunyai kuasa. Aku tidak sanggup untuk fikir semua itu. Tapi malam ini kepalaku bersarang sesuatu yang lain. Berkaitan dengan masa depan ku.

Aku dapat bersabar. Masih dapat berfikir dengan waras. Aku tahu ini adalah ujian dariNya. Sebab itulah aku menulis malam ini. Aku mahu 20 tahun lagi aku dapat membaca balik tulisan ini dan pada masa itu aku akan cakap, "Aduh malunya kepada diri sendiri. Benda macam ni pun nak kecoh.. bollocks". Tapi benda ini lah yang akan menentukan siapa ibu kepada anak aku 20 tahun lagi. Jangan salah faham. Aku bukan putus cinta. Aku cuma menghadapi sedikit masalah untuk menyambung legasi bakal pengisi tulang rusuk kiriku. Itu saja.

Ini adalah dugaan pertamaku. Di dalam perkahwinan, kita bukan sahaja berkahwin dengan si dia namun harus berkahwin dengan seluruh keluarganya. Tetapi adat, etika, protokol mahupun cara hidup kami berbeza. Habis bagaimana? Aku tidak mungkin sanggup bermain dengan angin seumur hidupku. Mengikut saja arah bayu bertiup. Aku juga mempunyai prinsip. Adakah menjadi satu kesalahan besar bila aku meminta untuk menghabiskan kata-kataku? Apakah itu dipanggil derhaka kepada orang tua?

Aku bukan sesiapa. Juga tidak mempuyai sesuatu. Hanya rakyat Malaysia biasa yang berada di bawah tekanan hidup. Mungkin kerana aku bukan sesiapalah masalah ini timbul. Mungkin aku perlu buktikan yang aku juga mempunyai sesuatu. InsyaAllah akan aku buktikan. Aku akan terus bernafas di dalam egoku untuk mencapai matlamat itu. Kerana, hanya itu sajalah pemangkin untuk aku terus berusaha. Kerana, aku tidak suka dipandang rendah.

Harus aku akui sikap Hang Jebat masih menebal dalam diriku. Sikap kebudak budakan walaupun umurku sudah melebihi suku abad. Adakah aku derhaka? Jika derhaka harap diampunkanlah. Jangan lah terus dihukum pancung. Hukuman yang aku lalui sekarang amat berat bagiku.

No comments:

Post a Comment